Kuantan: Jurugambar wanita di Rompin rugi RM38,200 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang dipromosi secara dalam talian, awal bulan lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 26 tahun kehilangan wang simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik ayahnya akibat penipuan itu.
Katanya, kejadian bermula pada 7 Januari lalu apabila dia menerima WhatsApp daripada suspek yang mendakwa melihat permohonan pekerjaan mangsa di portal Job Street.
"Suspek menawarkan kerja membuat ulasan pada laman Google Maps dan dijanjikan komisen bagi setiap ulasan," katanya dalan kenyataan hari ini.
Ramli berkata, mangsa bagaimanapun diminta membayar sejumlah wang untuk meraih keuntungan itu dan dia mempercayainya, sebelum membuat empat pindahan wang ke dua akaun bank berasingan.
"Mangsa menggunakan wang simpanan sendiri dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik ayahnya untuk semua transaksi dibuat berjumlah RM38,200," katanya.
Menurutnya, mangsa menyedari ditipu, kemudiannya membuat laporan polis dengan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja di media sosial yang menawar pulangan lumayan serta selalu menyemak maklumat di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/.
Disiarkan pada: Januari 13, 2023 @ 1:29pm
Sumber : Harian Metro
0 Ulasan