Kuantan: Pegawai latihan vokasional kerugian RM23,514 selepas terpedaya dengan tawaran kad tambah nilai murah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam laporan yang dibuat lelaki berusia 55 tahun itu semalam, dia melihat iklan penjualan kad Touch 'n Go (TNG) Komunikasi Medan Dekat (NFC) murah di laman Facebook, kelmarin.
Katanya, mangsa kemudiannya berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai ejen jualan kad terbabit.
"Mangsa berminat dengan tawaran pakej famili iaitu empat keping kad TNG NFC bernilai RM32 dan menekan pautan yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp. Pada masa sama, mangsa mengisi maklumat akaun bank seperti nama pengguna dan kata laluan untuk proses pembayaran tetapi tidak berjaya. Bagaimanapun, mangsa mendapati wang dalam akaun berjumlah RM23,514.70 lesap tanpa pengetahuannya," katanya.
Dalam kes terbabit, Ramli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak memuat turun aplikasi yang tidak berkaitan.
"Sebaiknya tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga atau di dalam seberang aplikasi daripada pautan yang mencurigakan," katanya.
Disiarkan pada: Januari 6, 2023 @ 12:47pm
am@hmetro.com.my
Sumber : Harian Metro
0 Ulasan