Sepang: "Pada Julai lalu, anak ada menyatakan hasrat untuk bekerja di Johor Bahru dan saya izinkan, namun selepas tiga bulan dia gagal dihubungi sehingga membuatkan kami sekeluarga risau," kata wanita dikenali sebagai Hasni iaitu ibu kepada seorang mangsa sindiket pekerjaan di Myanmar.
Hasni, 53, dari Kemaman, Terengganu berkata, kali terakhir anaknya, Muhamad (bukan nama sebenar), 26, menghubunginya adalah pada awal Oktober lalu untuk meminta mengirimkan pasport kerana mahu bekerja di Singapura.
Katanya, selepas itu, anaknya itu gagal dihubungi.
Katanya, keluarga pernah berjumpa dengan beberapa rakan Muhammad di kampung untuk bertanyakan sama ada anaknya ada menghubungi mereka, namun mereka menyatakan tiada.
"Pada awal Januari, Muhammad menghubungi adik perempuannya dan meminta bantuan supaya diselamatkan kerana diperdaya oleh sindiket pekerjaan di Myanmar," katanya.
Sementara itu, Sally, 41, berkata, anak saudaranya Sha (bukan nama sebenar) ,19, sebelum ini menyatakan hasrat ingin bekerja di Kuala Lumpur, namun tidak menyatakan bidang pekerjaan ditawarkan.
Dia menasihatkan Sha supaya tidak berkerja di Kuala Lumpur kerana jauh dan tidak mempunyai ahli keluarga di sana.
Katanya, selepas ibu bapa Sha meninggal dunia, remaja itu dan adik perempuannya, Ida, 16, tinggal bersamanya dan sebagai penjaga, dia wajib memastikan keselamatan anak saudaranya itu.
"Selepas Oktober, Sha gagal dihubungi dan kami sekeluarga risau memikirkan keselamatannya kerana sebelum ini walaupun berada di luar kawasan, dia akan menghubungi ahli keluarga. Pada awal Januari, Sha ada menghubungi adiknya dan meminta diselamatkan selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, lalu kami terus membuat laporan polis di Johor Bahru," katanya.
Semalam, Muhamad dan Sha bersama seorang lelaki berbangsa Cina berusia 33 tahun, ketiga-tiganya mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas dibawa pulang menerusi Bangkok.
Difahamkan, mereka terpedaya dengan tawaran kerja gaji lumayan menerusi iklan di Facebook dalam bidang pemasaran forex (mata wang asing) yang menjanjikan keuntungan RM4,000 sebulan.
Disiarkan pada: Januari 18, 2023 @ 9:45am
Sumber : Harian Metro
0 Ulasan