Wisma Putera



Wisma Putra membuka saluran untuk rakyat Malaysia menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara, berikutan pertambahan rakyat negara ini yang menjadi mangsa 'scam' kerja.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, semakan itu boleh dibuat di pejabat konsulat dan kedutaan Malaysia di negara yang ditawarkan.

Menurutnya, Wisma Putra mendapati trend 'scam kerja' di luar negara semakin meningkat dan banyak kes melibatkan tawaran kerja di Kemboja.

“Kita dapati berlaku pertambahan kes ‘scam’ kerja di luar negara ini dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya dapati banyak kes melibatkan tawaran kerja di Kemboja. Semasa saya mula-mula menjadi Menteri Luar, ada sekumpulan 47 mangsa yang kita bawa balik dari sana. Baru-baru ini, kita dapat bawa balik 16 orang dan sekarang ini ada satu kumpulan 20 orang. Kemudian, ada beberapa orang individu lagi yang turut menjadi mangsa. Wakil kita di sana sentiasa menghubungi dan berunding dengan pihak berkuasa di sana. Kalau mereka ditangkap polis, sekurang-kurangnya kita tahu mereka selamat dan kita boleh usahakan daripada segi undang-undang. Apa yang paling kita takut adalah mereka hilang tanpa dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas bersama Sinar Harian, Bernama, The Star dan Sin Chew Daily yang diadakan di Wisma Putra pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengingatkan rakyat negara ini agar lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara kerana sindiket itu mempunyai pelbagai taktik sehingga ada yang terpedaya.

“Pelbagai cara dan strategi yang mereka lakukan, jadi saya nasihatkan rakyat kita khususnya anak muda agar semak jika betul tawaran kerja itu benar-benar wujud. Wisma Putra mengambil inisiatif untuk membantu mereka. Mereka boleh semak dengan kita jika tawaran kerja itu betul atau tidak dengan menyemak dan berhubung dengan pejabat konsulat dan kedutaan kita di negara yang ditawarkan,” jelasnya.




Oleh FARAH SHAZWANI ALI

07 Mei 2022 02:25pm

Sumber : Sinar Harian