Kwee Sia menunjukkan mesej yang dihantar oleh individu yang menyamar sebagai Noraini untuk meminjam wang daripada kenalannya. |
Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, berhubung individu sindiket penipuan yang menggunakan wajah Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan di profil dalam aplikasi WhatsApp untuk meminta wang daripada kenalannya.
Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, perkara tersebut disedari oleh Noraini selepas menerima beberapa panggilan daripada kenalannya termasuk ahli majlis MPK yang mahu mengesahkan sama ada beliau ingin meminjam wang atau sebaliknya.
Menurutnya, individu terbabit menggunakan gambar Noraini pada profil WhatsApp dan meminta rakan-rakannya memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun RHB (26403000018474) atas nama Collection Enterprise.
Dari kiri: Norfiza, Kwee Sia dan Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Klang Selatan, Superintenden Zam Halim Jamaluddin ketika membuat laporan polis di IPD Klang Selatan di sini pada Khamis. |
"Laporan polis yang dilakukan ini adalah untuk memaklumkan kepada umum bahawa Noraini tidak pernah meminta wang seperti yang tular dalam media sosial. Orang ramai terutama warga Klang diminta berhati-hati dengan penyamaran ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian pada mereka yang tertipu," katanya selepas membuat laporan polis di IPD Klang Selatan.
Turut hadir ketika membuat laporan di (IPD) Klang Selatan, di sini ialah salah seorang ahli majlis MPK, Low Kwee Sia yang turut menerima WhatsApp berkenaan pada Rabu.
oleh ENGKU SHARIFUL AZNI
28 April 2022 03:25pm
Sumber : Sinar Harian
0 Ulasan