GOLONGAN bekerja sendiri boleh mendapat perlindungan khusus untuk mereka apabila ditimpa musibah pada masa akan datang. Adakah anda mengetahuinya? Rugi anda tidak mendaftar.

 


 

Pihak kerajaan telah memberi skim bantuan kemalangan melalui PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Skim ini diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut mengenai Skim Carumah Pekerjaan Sendiri dan cara mendaftar.

Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Bencana Pekerjaan Sendiri ertinya kecederaan diri pada orang berinsurans bekerja sendiri yang disebabkan oleh suatu kemalangan atau suatu penyakit pekerjaan akibat daripada dan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendirinya termasuk semasa dalam perjalanan yang berkaitan dengan aktiviti pekerjaan sendirinya.

Penyakit pekerjaan adalah penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan yang dinyatakan dalam Jadual Kelima Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Skim ini menyediakan daedah tunai kepada orang berinsurans bekerja sendiri dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Bermula Januari 2020, skim MATRIX ini telah memperluaskan kategori bagi sesiapa yang bekerja sendiri di bawah 19 sektor pekerjaan sendiri.

 


 

Jenis Pekerjaan yang Layak

Berikut adalah 19 jenis pekerjaan yang layak untuk mencarum adalah seperti berikut:

 

  • Pengangkutan Barangan dan Makanan
  • Perniagaan Online
  • Pertanian
  • Teknologi Maklumat
  • Penternakan
  • Pemprosesan Data
  • Perhutanan
  • Ejen
  • Perikanan
  • Perkhidmatan Profesional
  • Makanan
  • Perkhidmatan Sokongan
  • Pembuatan
  • Kesenian
  • Pembinaan
  • Perkhidmatan Isi Rumah
  • Penjaja
  • Penjagaan Perawatan dan Pemulihan
  • Kesihatan
  • Premis Penginapan

 

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan yang diperlukan untuk mendaftar Perkeso adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia / permaustautin tetap tanpa mengira had umur
  • Individu yang menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah

 

Dokumen Diperlukan

Bagi yang ingin mendaftar Perkeso untuk diri sendiri, anda perlu sertakan dokumen yang diperlukan seperti di bawah:

  • Salinan kad pengenalan
  • Salinan lesen / kad pemandu / profil e-hailing / permit / sijil atau surat pengesahan dari persatuan atau agensi yang berkaitan tertakluk kepada jenis sektor yang dipilih

 

Cara Bayar Caruman

Pembayaran caruman boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu:

  • Kaedah pembayaran secara tunai boleh dibuat di semua pejabat PERKESO
  • Kaedah online melalui perbankan internet di matrix.perkeso.gov.my (pilih butang ‘bantuan’ untuk panduan)
  • Pembayaran caruman boleh dibuat secara tahunan atau bulanan

 

Pilihan Pelan Carumah Perkeso Kerja Sendiri

Kadar caruman adalah berdasarkan pilihan seperti berikut:

 

Pelan 1

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan: RM1,050
  2. b) Bayaran Caruman Bulanan: RM13.10
  3. c) Bayaran Caruman Setahun: RM157.20

 

Pelan 2

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan: RM1,550
  2. b) Bayaran Caruman Bulanan: RM19.40
  3. c) Bayaran Caruman Setahun: RM232.80

 

Pelan 3

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan: RM2,950
  2. b) Bayaran Caruman Bulanan: RM36.90
  3. c) Bayaran Caruman Setahun: RM442.80

 

Pelan 4

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan: RM3,950
  2. b) Bayaran Caruman Bulanan: RM49.40
  3. c) Bayaran Caruman Setahun: RM592.80

 

Faedah Yang Anda Akan Dapat

Jika anda membuat caruman Perkeso, terdapat beberapa faedah yang boleh anda terima iaitu:

 

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Sementara
  • Faedah Hilang Upaya Akal
  • Faedah Elaun Layanan Sentiasa
  • Faedah Orang Tanggungan
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional
  • Faedah Pendidikan

 

  1. Faedah Perubatan
  • Rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik / hospital Kerajaan akan diberikan kepada orang berinsurans bekerja sendiri yang ditimpa bencana pekerjaan sendiri
  • Membuat tuntutan bayaran ganti kos rawatan di Pejabat PERKESO

 

  1. Faedah Hilang Upaya Sementara
  • Faedah ini akan dibayar kepada orang berinsurans bekerja sendiri yang ditimpa bencana pekerjaan sendiri sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor.
  • Tempoh cuti sakit mestilah sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan
  • Perlu kemukakan sijil cuti sakit
  • Kadar bayaran RM30.00 – RM 105.33 sehari berdasarkan pelan caruman yang dipilih

 

  1. Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Faedah ini adalah untuk orang yang hilang upaya yang berkekalan hingga mengurangkan keupayaan seseorang untuk menjalankan pekerjaannya. Tuntutan boleh dibuat selepas tamat tempoh cuti sakit
  • Kadar bayaran sebanyak 90% dari pilihan pendapatan bulanan yang diinsuranskan
  • Contoh pengiraan Faedah Hilang Upaya Kekal (bayaran pukal) jika taksiran sama dengan 20% dengan faktor umur 8873 (umur bawah 20 tahun) dan kadar caruman RM592.80.
    = (RM3,950 X 90% ÷ 30 hari) X 20% X 8873
    = RM210,290.10

 

  1. Elaun Layanan Sentiasa
  • Elaun ini akan diberikan kepada orang berinsurans bekerja sendiri yang tidak berdaya dengan teruknya akibat bencana pekerjaan sendiri sehingga memerlukan layanan tersendiri oleh orang lain
  • Elaun bulanan adalah sebanyak RM500.00

 

  1. Faedah Orang Tanggungan
  • Faedah ini akan dibayar secara bulanan kepada orang tanggungan yang layak sekiranya orang berinsurans bekerja sendiri meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri
  • Kadar bayaran sebanyak 90% daripada pilihan pendapatan bulanan yang diinsuranskan
  • Orang Tanggung yang layak ialah Balu atau Duda dan anak yang berumur di bawah 21 tahun.
  • Jika tiada balu, duda atau anak, orang tanggungannya ialah :
    – Ibu atau bapa; atau
    – Adik-beradik berumur dibawah 21 tahun; atau
    – Datuk nenek
  • Faedah sepenjang hayat akan diterima oleh duda/balu, ibu/bapa, datuk/nenek
  • Anak menerima faedah sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal). Jika sedang belajar di IPT, terima faedah sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (mana yang lebih awal)

 

Berikut contoh pengiraan Bayaran Faedah Orang Tanggungan kepada Isteri dan Anak

 

Pelan 1

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan yang Diinsuranskan : RM 1,050
    b) Pencen Bulanan : RM 1,050 X 90% = RM 945.00

 

Pelan 2

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan yang Diinsuranskan : RM 1,550
    b) Pencen Bulanan : RM 1,550 X 90% = RM 1,395.00

 

Pelan 3

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan yang Diinsuranskan : RM 2,950
    b) Pencen Bulanan : RM 2,950 X 90% = RM 2,655.00

 

Pelan 4

  1. a) Pendapatan Bulanan Pilihan yang Diinsuranskan : RM 3,950
    b) Pencen Bulanan : RM 3.950 X 90% = RM 3,555.00

 

 

  1. Faedah Pengurusan Mayat
  • Faedah ini akan dibayar sebanyak RM2,000 kepada orang tanggungan yang layak sekiranya orang berinsurans bekerja sendiri meninggal dunia akibat daripada bencana pekerjaan sendiri atau semasa menerima faedah hilang upaya

 

  1. Kemudahan Pemulihan Jasmani Atau Vokasional
  • Kemudahan ini akan diberi secara percuma
    Pemulihan jasmani adalah seperti fisioterapi, pembedahan rekonstruktif, anggota tiruan, rawatan hemodialisis, kerusi roda, tilam khas, tongkat, commode chair, lampin dan lain-lain
  • Kemudahan vokasional seperti latihan dalam bidang elektrikal, jahitan, membaiki radio dan lain-lain

 

  1. Faedah Pendidikan
  • Faedah pendidikan yang akan diberikan adalah dalam bentuk pinjaman atau biasiswa kepada anak bagi Orang Berinsurans bekerja sendiri yang mati akibat bencana pekerjaan sendiri atau menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal dan memenuhi syarat-syarat kelayakan ditetapkan

 

Panduan Daftar dan Pembayaran Caruman Secara Online

Berikut adalah panduan pembayaran caruman secara online:

 
 
 

 

  1. Layari matrix.perkeso.gov.my dan klik pada Log Masuk.
  2. Klik pada “Kali Pertama? Daftar akaun MATRIX?”
  3. Isikan maklumat yang diperlukan dan klik pada “Seterusnya”.
  4. OTP akan dihantar ke nombor telefon anda. Taipkan nombor OTP yang anda terima dan klik pada “Seterusnya”.
  5. Mesej pendaftaran berjaya akan dipapar dan pautan verifikasi akan dihantar ke emel anda.
  6. Menerusi emel diterima, klik pada “disini” atau klik pada URL di bawah, pautan tersebut akan membawa anda ke laman sesawang iPERKESO untuk melengkapkan proses pengaktifan.
  7. Pautan verifikasi akan bawa anda ke laman ini. Sila isi Ungkapan Rahsia, Kata Laluan (password) dan Pengesahan Kata Laluan. Klik pada “Seterusnya” dan anda telah berjaya mendaftar akaun MATRIX.
  8. Masukkan nombor kad pengenalan anda yang telah berdaftar dan klik pada “Seterusnya”.
  9. Pastikan Ungkapan Rahsia anda betul dan masukkan Kata Laluan. Seterusnya klik pada “Log Masuk”.
  10. Log Masuk ke sistem dan pilih Mod “Saya bekerja sendiri”.
  11. Klik “Daftar” di panel pendaftaran dan caruman. Untuk memperbaharui caruman, sila klik “Memperbaharui”.
  12. Pilih sektor pekerjaan sendiri dan klik hantar.
  13. Isikan maklumat diperlukan dan muat naik dokumen yang diperlukan.
  14. Plih pelan caruman dan tempoh caruman yang ingin dibayar. Seterusnya klik pada “Hantar & bayar”.
  15. Pilih bank dan klik bayar dengan FPX.
  16. Setelah bayaran berjaya dibuat, resit pembayaran caruman boleh dimuat turun.
  17. Proses pendaftaran dan pembayaran kali pertama selesai. Contoh resit pembayaran seperti dipaparkan di bawah.
  18. Untuk memperbaharui caruman, sila ikut langkah 1 dan 8 hingga 17.

 

 

VIDEO PENGENALAN :
SKIM KESELAMATAN SOSIAL PEKERJAAN SENDIRI OLEH PERKESO

(Sumber : Perkeso)

 

 

 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sosial, anda boleh hubungi talian 1300 22 8000 atau emel ke perkeso@perkeso.gov.my

 

Pautan risalah: https://www.perkeso.gov.my/images/dokumen/Risalah%20Skim%20Pekerjaan%20Sendiri%20PERKESO(Januari2019).pdf