Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, diberi pada Febuari 2025.




Lebih RM1.8 bilion disediakan untuk membina, menyelenggara, dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam, termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara, dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.




Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar. Untuk fasiliti kesihatan yang menggunakan sistem ini, kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun RM55 hingga RM65 bagi Elaun Tugas Atas Panggilan kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian, bergantung kepada bidang perkhidmatan dan jabatan tertentu.




Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM21.2 bilion, meningkat RM1.4 bilion. Kerajaan akan memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan memperuntukkan RM5.8 bilion untuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, dan perolehan aset ketenteraan baharu.




Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan sebanyak RM19.5 bilion, meningkat sebanyak RM500 juta. Dari jumlah ini, lebih RM2.12 bilion diperuntukkan untuk aset khusus bagi PDRM dan agensi beruniform di bawah KDN, bertujuan menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu untuk membendung peningkatan kes jenayah dan mengekang anasir permusuhan yang boleh memecahbelahkan rakyat.




Untuk sokongan khusus dalam sukan bola sepak, RM15 juta disediakan kepada Pasukan Harimau Malaya dan pasukan bawah 18 dan 13, untuk mendapatkan jurulatih terbaik dan sesi latihan berkualiti.




Pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih RM230 juta, yang merangkumi Program podium, latihan atlet, dan persiapan untuk sukan para dunia.

Selain itu, peruntukan ini akan digunakan untuk menyelenggara kemudahan belia dan sukan di seluruh negara, serta memberikan geran padanan sukan bagi galakan penganjuran pertandingan oleh persatuan dan NGO.




Menghargai sumbangan besar lebih 70 ribu guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta.




Susulan Ops Global yang sedang dijalankan, kerajaan akan menyediakan tambahan RM25 juta kepada Kementerian Wanita,Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.

Manakala, pada tahun hadapan, peruntukan hal ehwal Islam adalah berjumlah RM2 bilion. Sebahagian peruntukan tersebut bertujuan  memperkasa institusi pendidikan Islam.


RM380 juta disalurkan kepada masyarakat Orang Asli menerusi Belanjawan MADANI 2025. Ia antara lain bertujuan meningkatkan infrastruktur dan kualiti kehidupan komuniti itu di seluruh negara.




Peruntukan bantuan untuk Orang Kurang Upayah (OKU) di bawah JKM meningkat kepada RM1.3 bilion, berbanding RM1.2 bilion sebelumnya.

Kelayakan gaji untuk menerima Bantuan Elaun Pekerja OKU juga ditingkatkan kepada RM1,700. Kemudahan mesra OKU di IPTA akan diperbaiki, dan Program Pemulihan Dalam Komuniti akan dilaksanakan dengan peruntukan RM30 juta. Selain itu, Skim Sinar BSN menyediakan RM50 juta untuk OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Kerajaan juga akan meringankan tanggungan pembayar cukai OKU dengan cadangan pelepasan cukai tambahan: RM7,000 bagi OKU, RM6,000 bagi pasangan OKU, dan RM8,000 bagi pembayar cukai dengan anak OKU yang belum berkahwin.




Bagi terus membantu ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan anak-anak, pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.




Program Latihan Khidmat Negara 3.0 akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi lepasan kadet sekolah. PDRM dan agensi beruniform lain turut terlibat menjayakan PLKN 3.0 menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.




Kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.




Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180 ribu pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana. Perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih RM270 juta dan setiap bandar utama di semua negeri akan dipastikan dapat menerima manfaat.

Sementara itu, capaian bas ditingkatkan di Lembah Klang dengan RM10 juta disediakan bagi menambah lorong bas khas melibatkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.


 



RM120 juta disalurkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menambah baik capaian internet di universiti awam, sekolah, kem-kem tentera dan institusi MARA.




Bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan.

Ia termasuk pelepasan cukai sehingga RM7,000 diberikan bagi rumah kediaman berharga sehingga RM500,000. Pelepasan cukai sehingga RM5,000 diberikan bagi rumah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.

Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Selain itu, Skim Step Up Financing diperkenalkan di bawah SJKP sebagai jaminan Kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama.

Skim ini menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh 5 tahun pertama.




Kerajaan telah menubuhkan sebuah Tabung Penyakit Jarang Jumpa dan bermula tahun hadapan, peruntukan bagi menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa ditingkatkan kepada RM25 juta.

Manakala, sumbangan ke dalam Tabung Penyakit Jarang Jumpa juga layak mendapat potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar.




Malaysia mencatatkan kadar obesiti yang tinggi di rantau Asia Tenggara, dengan gula menjadi salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit. Untuk menyokong gerakan War on Sugar, kerajaan bercadang menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.




Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi sebanyak RM45.3 bilion, meningkat dari RM41.2 bilion tahun lalu.

Keutamaan kerajaan adalah untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang berkualiti dan mesra rakyat, dengan RM1.35 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan prasarana kesihatan, termasuk membaiki tandas hospital dan wad pesakit.

Kerajaan juga akan terus menaik taraf klinik-klinik daif, dengan peruntukan yang meningkat setiap tahun di bawah program MADANI, iaitu RM100 juta untuk 2023, RM150 juta untuk 2024, dan RM300 juta untuk tahun hadapan.




Selaras dengan Dasar TVET Negara, kerajaan meningkatkan peruntukan untuk TVET kepada RM7.5 bilion, berbanding RM6.8 bilion sebelumnya. Ia mencakupi penyediaan peluang latihan untuk belia rentan, termasuk dari kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman, dan Orang Asli.



 

Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM18 bilion, meningkat dari RM16.3 bilion tahun ini. Terkait kemudahan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ia termasuk RM4 bilion disediakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman, dan elaun pendidikan.

Manakala, PTPTN menyediakan dana RM500 juta untuk pelajar dalam bidang STEM di IPTA.



 

Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan RM64.1 bilion, peningkatan daripada RM58.7 bilion tahun ini, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Antara lain, RM2 bilion disalur untuk naik taraf dan penyelenggaran sekolah di seluruh negara.



 

Bagi menggalak lebih ramai pekerja tidak formal dan mereka yang tidak punyai pendapatan tetap menabung untuk persaraan, insentif padanan i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada 20 peratus berbanding 15 peratus, tertakluk kepada had maksimum insentif padanan tahunan RM500 atau 5,000 seumur hidup.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan menanggung sehingga 70 peratus caruman pekerja dengan peruntukan RM100 juta. Ini sebagai persediaan ke arah penetapan caruman wajib sebagai salah satu syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu bekerja sendiri tahun hadapan.




Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuatkuasa mulai Februari tahun depan.




Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, diberi bermula Febuari 2025.




Peningkatan peruntukan kepada RM2.9 bilion menerusi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), termasuk kenaikan bantuan kepada warga emas dan kanak-kanak dari keluarga miskin.

Warga Emas akan mendapat bantuan RM600 sebulan (dari RM500). Manakala, kanak-kanak akan mendapat RM250 ringgit untuk anak 6 tahun ke bawah (dari RM200) dan RM200 ringgit untuk anak 7 hingga 18 tahun (dari RM150).

Bagai keseluruhan bantuan, Isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima lebih RM13 ribu setahun, manakala warga emas miskin lebih RM10 ribu setahun.

Selain itu, pembayaran STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima mulai 7 November dengan peruntukan RM1.7 bilion.




Untuk tahun 2025, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan meningkat kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion sebelum ini , memberi manfaat kepada 9 juta penerima.

STR Kategori Isi Rumah: 4.1 juta penerima akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, meningkat daripada 700 ribu penerima tahun ini.

Penggunaan MyKAD: Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD mulai April 2025 untuk pembelian barangan asas di lebih 600 lokasi.

Bujang: Kategori bujang akan menerima RM600.

Kadar Maksimum Bantuan: Peruntukan tambahan RM3 bilion membolehkan peningkatan kadar maksimum isi rumah kepada RM4,600.




Pemberdayaan PMKS akan terus diperhebat bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.

Khazanah akan melancarkan Program Syarikat Mid-Tier dengan dana RM1 bilion bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.

Sementara itu, bagi mendorong para pengeksport tempatan memperluas operasi mereka ke pasaran luar, RM750 juta disediakan di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank.

Selain itu, RM40 juta juga disediakan di bawah MATRADE sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di pentas antarabangsa.




Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan, RM50 juta disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.

Selain itu, RM100 juta juga disediakan oleh SKMM untuk tempoh 5 tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.




National Fund-of-Funds (NFOF) akan ditubuhkan di bawah Khazanah yang beroperasi bulan hadapan dengan dana RM1 bilion. NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat mula niaga dengan RM300 juta disediakan untuk 2025.

KWAP di bawah Dana Perintis menyediakan RM1 bilion untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan dengan 200 juta khusus untuk 2025.

Manakala, Cradle Fund diperuntukkan RM65 juta bagi membantu syarikat mula niaga berpotensi untuk berkembang ke peringkat serantau dan global. Ini juga termasuk RM15 juta geran padanan sebagai galakan untuk GLC bekerjasama dengan syarikat mula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat.




Sejak 2022 hingga September 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan 23mencecah hampir RM2 bilion ringgit. KPDN dan JKDM disediakan RM60 juta untuk terus membanteras ketirisan wang rakyat.

Selain itu, Setakat September 2024, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida melibatkan jumlah penalti dikenakan hampir 600 juta ringgit melibatkan lebih 350 syarikat. Tahun hadapan, MyCC disediakan RM27 juta.




Kerajaan bercadang mengenakan sedikit kenaikan yuran sekolah berasrama penuh (SBP) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada kumpulan 15 peratus teratas. Kenaikan yuran itu tidak akan menjejaskan kumpulan B40 dan M40




Peruntukan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

Selain itu, RM20 juta geran padanan disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir.




Menurut Anwar, Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung.

Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 Juta.

Sementara itu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan RM10 juta.




Antara langkah kerajaan dalam memanfaat sumber adalah menyalurkan  sebahagian hasil kerajaan merangkumi penjualan nombor plat khas untuk membantu rakyat susah. Selain itu, menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15 ribu anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

Kerajaan turut memberi bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman.




RM100 juta disalur kepada universiti awam untuk laksanakan program Kampung Angkat MADANI dan institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Ikhtiar Sejati MADANI.




RM600 juta untuk merancakkan ekonomi pendesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli menerusi Ikhtiar Sejati MADANI.

Manakala RM200 juta disalurkan bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung di seluruh negara.




Peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang  dinaikkan kepada RM209 juta  kepada RM194 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula. Kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.




Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM338 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk terus memerangan salah laku rasuah.




Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberikan keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri dengan masing-masing RM6.7 bilion  dan RM5.9 bilion ringgit




Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi pernah diumumkan iaitu RM 421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.



 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025. Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.




Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.

Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025. Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.


 



Kerajaan menjangkakan kutipan hasil tahun 2025 terus meninggi kepada RM340 bilion.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 berkata, asas hasil negara masih rendah, sementara perbelanjaan subsidi memuncak ke paras tertinggi di rantau Asia.




Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan (MoF) kira-kira jam 3.15 petang untuk ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berpakaian baju Melayu lengkap berwarna kelabu dan bersamping diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.