Peniaga Durian Jadi Scammer, Tipu Pelanggan Dengan Plakad Mengelirukan





Penipuan jualan atau scammer yang mengiklankan jualan durian pada harga murah bukan sahaja berleluasa di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, malah turut dilakukan dalam kalangan peniaga buah itu sendiri.

Taktik digunakan peniaga scammer ini adalah dengan mempamerkan plakad yang mengelirukan seperti RM100 untuk tiga bakul bertujuan menarik pembeli singgah di gerai mereka.

Namun, apabila berada di kedai, durian seperti dinyatakan dalam plakad tiada kononnya habis, yang ada hanya buah mahal yang dijual secara timbang.

Berkongsi pengalaman dengan Utusan Malaysia, seorang pembeli, Fairul Alimi Ahmad, 35, berkata, dia pernah tertipu dengan harga dipamerkan pada papan di gerai-gerai menjual durian.

Katanya, ada antara peniaga meletakkan harga yang tidak masuk akal yang ditulis pada plakad, namun sebaik sahaja berhenti di gerai terbabit, durian itu ‘sudah habis’.

“Ada sebuah gerai di Kuantan yang menawarkan harga RM100 untuk tiga bakul durian. Dari jauh kita nampak harga itu sangat menarik kerana berasakan ia murah. Namun, sebaik sahaja berhenti di gerai berkenaan, durian pada harga tawaran terbabit dikatakan sudah habis sedangkan plakad masih tertera harga berkenaan. Apa yang tinggal hanya durian yang dijual secara timbang, RM15 untuk sekilogram durian kampung. Hendak atau tidak, terpaksa juga beli kerana sudah singgah dan memang teringin hendak makan,” katanya di sini semalam.


Menurut Fairul Alimi, bukan hanya dia, malah ada kenalannya memberitahu terkena perkara sama.

“Ada juga rakan-rakan cerita mereka ternampak iklan menjual durian kampung sebakul RM30 dalam laman sosial Facebook. Sebaik sahaja tiba di lokasi jualan, peniaga beritahu durian murah itu sudah habis sedangkan iklan yang diletakkan di Facebook tidak sampai satu jam pun. Terlalu cepat durian murah itu habis dijual dan yang tinggal hanya durian mahal,” katanya.






Menurutnya lagi, tidak kurang juga ada antara peniaga yang bertindak menipu jenis durian atau asal usul durian yang dijual.

“Sekarang terkenal dengan durian Raub dan Jerantut. Peniaga sering memperdaya pembeli dengan memberitahu durian diambil dari dua kawasan berkenaan sedangkan ia diambil dari negeri lain. Bagi penggemar durian, mereka memang boleh membezakan durian dari Raub dan Jerantut kerana rasanya yang berbeza. Bila sudah beli dan rasanya tidak seperti diharapkan, memang kecewalah,” katanya.


Justeru, dia berharap peniaga bersikap lebih jujur dan tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan nasib pembeli yang tertipu dengan tindakan mereka.

“Ia juga memberi kesan tidak hanya kepada peniaga lain yang bersikap jujur, malah kepada mereka sendiri terutama dalam jangka masa panjang kerana tindakan itu mencalarkan imej perniagaan masing-masing,” katanya.