“Kawan saya ada menghubungi saya dan minta maaf. Dia suruh saya buat apa yang syarikat (scammer) minta. Kawan saya cakap dia dapat komisen AS$2,000 (RM8,400) untuk seorang mangsa.”
Itu luahan seorang pemuda dari Johor Bahru, Joe (bukan nama sebenar), 36, yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Sihanouk, Kemboja.
Dia mendedahkan bagaimana rakan sendiri tergamak menjualnya kepada sindiket scammer demi habuan kira-kira RM8,400.
Joe antara lima rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan oleh Wisma Putra dan Kementerian Luar pada Ogos lalu selepas empat bulan dipaksa bekerja sebagai scammer.
Katanya, penderitaan itu bermula selepas dia menerima tawaran kerja daripada rakan sebagai pembakar sate di Kemboja dengan gaji AS$1,500 sebulan (sekitar RM6,300).
“Saya memang kerja pembakar sate di Johor Bahru. Bila ada tawaran kerja yang sama di luar negara dengan gaji tinggi, saya percaya. Tambahan pula kawan saya cerita dia mampu beli kereta mewah hasil kerja di sana.
“Pada hari raya keenam, 5 April, saya terbang ke Kemboja. Tiket penerbangan ditanggung oleh kawan dan saya diberikan wang tunai RM2,000 sebelum berangkat,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Skudai.
Namun, sebaik tiba di sana, segala janji manis bertukar mimpi ngeri. Joe berkata dia dibawa ke markas ‘scammer’ dalam keadaan khayal selepas diberikan minuman di sebuah hotel mewah.
“Markas itu lengkap dengan asrama dan peralatan teknologi. Saya dipaksa bekerja 14 jam sehari, menyamar sebagai anggota polis dan pegawai SKMM untuk menipu orang.
“Saya perlu capai sasaran antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan. Kalau gagal, saya diseksa, direnjatan elektrik atau dikurung dalam bilik tanpa makanan, hanya diberi sebotol air,” katanya.
Tambahnya, lebih 40 rakyat Malaysia turut diperhambakan di situ bersama warga asing dari Rusia, Brazil dan negara Arab.
“Mereka beri kami makan daging babi, arak, dan kehidupan di sana sangat bebas. Tiada pilihan selain patuh arahan,” katanya.
Detik penyelamat tiba apabila sindiket memaklumkan Joe dan empat lagi rakyat Malaysia akan dibawa ke sempadan Laos untuk dijadikan buruh paksa.
“Ketika itu kami ambil kesempatan hubungi ADUN Skudai, Marina Ibrahim, untuk minta bantuan. Alhamdulillah, kami selamat dibawa pulang ke Malaysia pada 16 Ogos.
“Dalam tempoh itu, saya fikir antara hidup dan mati, sama ada sempat diselamatkan atau dibunuh,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Ringkasan AI
- Joe dari Johor Bahru diperdaya menjadi scammer di Kemboja, bekerja 14 jam sehari dan disiksa
- Dibawa keluar oleh Wisma Putra dan Kementerian Luar pada Ogos dari sindiket scammer
- Tawaran kerja sebagai pembakar sate di Kemboja dengan gaji RM6,300 sebulan
- Dipaksa mencapai sasaran RM50,000 hingga RM100,000 sebulan atau akan disiksa
- Berjaya dibebaskan dan pulang ke Malaysia pada 16 Ogos dengan bantuan ADUN Skudai, Marina Ibrahim

0 Ulasan