Kelemahan dalam proses pendaftaran kad SIM didakwa menjadi antara punca utama sindiket penipuan atau scam semakin berleluasa di negara ini.

Aktivis Anti-Scam, Rahmat Fitri Abdullah berkata, kelemahan itu membolehkan nombor telefon didaftarkan menggunakan identiti pihak lain termasuk warga asing sekali gus memudahkan penjenayah ‘menyembunyikan diri’ daripada dikesan pihak berkuasa.

“Banyak nombor yang digunakan scammer didaftarkan atas nama orang lain. Ini menunjukkan proses pendaftaran yang lemah. Syarikat telekomunikasi (telco) sepatutnya menyemak di mana nombor itu didaftarkan, di kedai, ejen atau syarikat dan ambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Rahmat Fitri berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memperketatkan prosedur pendaftaran kad SIM termasuk mengenakan tindakan terhadap syarikat telco yang cuai dalam kawalan dan pemantauan.

“Saya amat setuju jika MCMC mengenakan hukuman berat kepada telco yang gagal mengawal aktiviti penipuan. Berdasarkan maklumat sebelum ini, jumlah tindakan yang diambil sangat rendah dan tidak mencerminkan tahap tanggungjawab sebenar,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya telco memperkenalkan sistem pendaftaran yang lebih telus seperti menggunakan kaedah biometrik seperti cap jari atau imbasan mata bagi memastikan hanya pemilik sebenar boleh mendaftar talian baharu.

“Kalau sistem pendaftaran kad SIM ini betul-betul ketat, saya yakin separuh daripada kes jenayah siber di negara ini dapat dikurangkan,” tegasnya.

Rahmat Fitri berkata, peranan telco amat penting kerana hampir semua mangsa penipuan dihubungi melalui nombor telefon berdaftar di bawah rangkaian mereka.

“Telco tak boleh lepas tangan. Mereka bukan sahaja perlu kawal sistem, tetapi juga bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pelanggan tentang keselamatan digital.

“Ramai rakyat masih tidak tahu cara mengenal pasti panggilan palsu atau mesej penipuan,” katanya.

Menurutnya, kempen kesedaran yang dijalankan ketika ini masih bersifat umum dan tidak memberi impak besar kepada masyarakat kerana tidak menepati kaedah penyampaian yang berkesan.

“Kalau kempen hanya sekadar untuk ada, tanpa impak, itu buang masa dan buang duit. Telco perlu turun ke lapangan, jumpa masyarakat, ajar mereka teknik mengenal pasti nombor mencurigakan dan cara berinteraksi dengan panggilan yang tidak dikenali,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru agar semua agensi termasuk MCMC, telco dan institusi kewangan berganding bahu memperkukuh aspek pendidikan dan kesedaran digital sebagai langkah pencegahan paling berkesan.

“Ilmu dan kesedaran digital adalah pelaburan yang paling menguntungkan. Teknologi scam semakin canggih, tapi dengan pengetahuan yang betul, masyarakat boleh elak daripada menjadi mangsa,” katanya.

Rahmat Fitri menegaskan, sudah tiba masanya telco menunjukkan tanggungjawab sebenar terhadap keselamatan pelanggan dan bukan hanya memberi tumpuan kepada keuntungan semata-mata.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa mengenakan hukuman berat terhadap syarikat telco yang gagal mengawal serta mencegah kegiatan penipuan, sama ada melalui panggilan telefon atau mesej, yang kini dianggap sebagai ‘wabak senyap’ dalam masyarakat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, tindakan radikal seumpamanya perlu bagi memastikan syarikat berkaitan lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah soal pendaftaran nombor yang sering disalah guna oleh sindiket penipuan (scammer).

Menurut beliau, kegagalan telco memantau penggunaan nombor telefon dengan baik telah membuka ruang kepada scammer untuk beroperasi bebas, termasuk menggunakan nombor luar negara tanpa pengesahan sah.


Ringkasan AI
  • Kelemahan dalam proses pendaftaran kad SIM antara penyebab utama peningkatan sindiket penipuan di Malaysia
  • Nombor telefon sering didaftarkan atas nama orang lain, memudahkan penipu 'menyembunyikan diri'
  • Rahmat Fitri mencadangkan penggunaan sistem pendaftaran lebih telus seperti kaedah biometrik untuk mengatasi masalah ini
  • Peranan syarikat telekomunikasi (telco) penting dalam mengawal aktiviti penipuan dan meningkatkan kesedaran digital
  • Pengenalan hukuman berat kepada telco yang gagal mengawal kegiatan penipuan disokong sebagai langkah mempertanggungjawabkan syarikat tersebut