KOTA BHARU - Hanya kerana satu mesej ringkas daripada seorang wanita tidak dikenali yang mengucapkan ‘terima kasih’, seorang pekerja swasta di sini berputih mata apabila wang simpanan dalam akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) lesap dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Aizat, 47, berkata, pengalaman buruk itu berlaku pada Julai lalu apabila menerima mesej daripada seorang wanita warga Indonesia yang mengucapkan terima kasih kononnya kerana membantu memulangkan semula dokumen yang tercicir.

“Saya tidak endahkan mesej tersebut. Namun, wanita itu tetap menghantar mesej yang sama beberapa kali.

“Saya hanya membalas untuk memaklumkan bahawa dia tersilap nombor, tetapi dari situlah episod perbualan bermula.

“Lama-kelamaan, dia mula menawarkan peluang pelaburan dengan modal RM300. Dia yang membiayai modal tersebut dan saya bersetuju kerana ingin tahu. Tidak sampai dua hari, saya menerima pulangan RM500 yang dimasukkan terus ke dalam akaun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, wanita berkenaan kemudiannya menambah modal pelaburan sebanyak RM3,000 yang mendatangkan pulangan RM5,000, sekali gus membuatkannya semakin yakin dengan sistem tersebut.

Ujar Aizat, wanita tersebut terus memujuknya untuk melabur lebih banyak dan akhirnya beliau telah menggunakan semua simpanan di Tabung Haji sebanyak RM30,000 dan ASB (RM50,000).

Bukan itu sahaja katanya, dia seakan-akan ‘dipukau’ oleh wanita itu apabila diminta menambah lagi nilai pelaburan dengan meminjam wang daripada adik-beradik sekitar RM5,000 setiap seorang, serta membuat pinjaman bank sebanyak RM30,000.

“Saya bukan sahaja ditipu oleh wanita itu dalam urusan pelaburan, tetapi keadaan menjadi bertambah buruk apabila saya turut ditipu sindiket lain yang menyamar sebagai pegawai bank selepas cuba membuat pinjaman bagi menampung pelaburan tersebut.

“Saya hilang RM10,000 lagi selepas membuat bayaran pendahuluan kepada individu yang kononnya menguruskan pinjaman tersebut. Mereka kata proses akan lebih mudah jika saya buat bayaran kecil kerana saya bekerja swasta,” katanya.

Menurut Aizat, nombor individu yang menawarkan pinjaman bank itu diperoleh daripada internet.

Dia berbuat demikian kerana mahu wang dengan segera dan bimbang diketahui isteri jika ke bank berhampiran.

Aizat hanya menyedari dirinya ditipu selepas cuba meminjam wang daripada isteri untuk melunaskan ‘bayaran akhir’ berjumlah RM10,000 itu.

Beliau memberitahu, isterinya mula curiga dan membawanya ke bank berhampiran untuk bertanya tentang pinjaman tersebut.

“Kakitangan bank memaklumkan tiada sebarang urusan pinjaman dibuat secara dalam talian dan peminjam perlu hadir ke cawangan.

“Saya pengsan di hadapan bank apabila sedar ditipu. Wanita tersebut juga tidak dapat dihubungi selepas saya memaklumkan bahawa tiada wang untuk diberikan,” katanya sebak.

Tambah bapa kepada dua anak itu, selepas tersedar daripada kejadian itu, dia terus membuat laporan polis di balai berhampiran dan menukar nombor telefon kerana bimbang terus diganggu scammer terbabit.

Kini beliau lebih berhati-hati dan tidak lagi melayan sebarang panggilan serta mesej daripada nombor yang tidak dikenali.

Walaupun kejadian itu sudah beberapa bulan berlalu, sehingga hari ini dia sukar melelapkan mata serta sering berdebar setiap kali menerima mesej atau panggilan daripada nombor tidak dikenali.

Ringkasan AI

  • Pekerja swasta di Kota Bharu kehilangan wang simpanan dalam Tabung Haji dan ASB akibat ditipu melalui mesej daripada wanita tidak dikenali
  • Wanita tersebut menawarkan peluang pelaburan dengan modal awal dibiayai dan menjanjikan pulangan lumayan yang membuat mangsa yakin
  • Mangsa menggunakan semua simpanan di Tabung Haji dan ASB serta meminjam wang daripada adik-beradik dan bank untuk melabur lebih banyak
  • Mangsa juga ditipu sindiket lain yang menyamar sebagai pegawai bank setelah cuba membuat pinjaman untuk melabur
  • Mangsa membuat laporan polis dan mengganti nombor telefon serta menjadi lebih berhati-hati dengan panggilan dan mesej daripada nombor tidak dikenali