KEBELAKANGAN ini, pasti ramai yang menerima ‘panggilan senyap’ daripada nombor telefon yang tidak dikenali. Telefon berbunyi, tapi bila dijawab, tidak ada ada suara!
Rupa-rupanya, panggilan senyap itu bukan sekadar missed call yang tidak disengajakan tetapi itulah perangkap baharu scammer.
Kalau dulu, scammer akan bersuara, memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kononnya dari Bukit Aman; pegawai LHDN mendakwa cukai tertunggak; atau staf Pos Laju mendakwa ada bungkusan mencurigakan.
Tetapi sekarang taktik scammer sudah berubah, senyap sepenuhnya. Kita pula naik marah kerana diganggu, siap ada yang maki panjang-panjang lagi.
Rupanya itu semua yang mereka mahu, pengesahan kita masih hidup, masih guna nombor dan masih boleh diperangkap.
Menurut CyberSecurity Malaysia (CSM), kebanyakan panggilan senyap datang daripada scammer yang sedang mengumpul data dan mengenal pasti mangsa berpotensi.
Jika kita menjawab, nombor telefon kita akan disahkan sebagai nombor aktif dan di situlah bermulanya perangkap.
Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab menjelaskan, panggilan senyap ini sebenarnya bertujuan mengumpul metadata suara serta suara latar.
Walaupun senyap, kadangkala panggilan tersebut sedang dirakam untuk menilai persekitaran dan mengesahkan identiti pemilik nombor.
Selepas itu, nombor kita akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran untuk scam seterusnya, atau dijual kepada sindiket lain. Menyeramkan, bukan?
Biasanya selepas panggilan senyap, akan muncul SMS mengatakan akaun bank digantung, dikenakan tindakan undang-undang, atau diminta menghubungi semula nombor tertentu.
Ada juga mesej WhatsApp dengan pautan palsu, tawaran kerja lumayan, atau panggilan kedua yang lebih meyakinkan, menyamar sebagai pegawai bank, syarikat kurier, polis atau agensi kerajaan.
Jadi, apa perlu kita buat? Jawapannya, tamatkan panggilan serta-merta. Jangan tunggu. Jangan cakap sepatah pun. Jangan dedahkan maklumat peribadi. Jika panggilan itu penting, pemanggil akan mencuba lagi atau menghantar pesanan suara.
Gunakan fungsi sekatan panggilan pada telefon pintar, aplikasi pengesan spam seperti Truecaller atau WhosCall. Laporkan nombor mencurigakan kepada MCMC.
Didik keluarga anda terutama warga emas dan remaja agar tidak melayani panggilan senyap ini!
.

0 Ulasan